Pengikut

Selasa, 2 November 2010

..: Setulus ikhlas :..

Oleh Prof Dr Sidek Baba

Maksud kerana Allah ialah ikhlas. Ikhlas memberikan sandaran terhadap redha Allah. Berfikir adalah aktiviti akal untuk sesuatu maksud.

Berfikir kerana Allah adalah menggunakan kekuatan akal dan daya taakulan untuk berfikir ke arah sesuatu yang Allah redha. Menggunakan akal untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah kemudian melakukan kajian dan penyelidikan berasaskan jiwa tadabbur yang tinggi menyebabkan hasil pemikiran membimbing kedekatan manusia dengan Penciptanya.

Menggunakan kekuatan akal untuk menyuburkan maklumat yang dipandu oleh asas-asas yang benar tentunya bakal membimbing manusia suka dan cintakan kebenaran. Menggunakan akal bagi membuat sesuatu pertimbangan yang menuntut keadilan dengan merujuk faktor pemikiran dan faktor syarak ia bakal mempedoman manusia ke arah natijah yang baik.

Oleh itu maksud berfikir kerana Allah adalah menghubungkan proses dan natijah pemikiran selari dengan pedoman dan petunjuk Allah. Akal saja tidaklah segala-gala. Akal yang dipandu oleh hikmah yang terungkap dalam al-Quran memberikan sumber yang memandu manusia berfikir. Daripadanya lahir kegiatan berfikir tidak semata-mata kerana berfikir tetapi berfikir yang selari dengan petunjuk Allah, tidak bercanggah dengan syarak dan mendapat redha-Nya.

Menjadi suatu tuntutan kepada umat Islam untuk membina tradisi berfikir kerana Allah dan berhikmah kepada manusia. Ia bermakna kita harus ada asas-asas ilmu Islam yang baik. Ilmu ini akan memandu kita dalam proses berfikir.

Ilmu Islam memberi kita suluh supaya aktiviti akal tidak hanya berkembang begitu saja tanpa arah dan matlamat tetapi dipandu oleh sumber hikmah atau al-Quran supaya matlamat berfikir bakal memberi manfaat kepada yang lain.

Ramai dari kita kini amat terpengaruh dengan pemikiran semasa yang bercorak popular. Tidak pula salah bagi kita mengetahui asas-asas ilmu daripada sumber Barat dan Timur untuk maksud berbanding. Tetapi sebagai umat Islam keupayaan berfikir yang dipandu oleh sumber hikmah atau wahyu menjadi terlalu penting supaya pemikiran berkembang dan subur atas maksud kebaikan dan manfaat. Inilah asas berfikir kerana Allah yang amat diperlukan oleh kita.

Kita tentunya selalu berfikir tentang hiburan, cinta, makna kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan, sahabat dan persaudaraan. Berfikir ke arah itu adalah sesuatu yang fitrah. Tetapi sebagai seorang Muslim apakah sandaran berfikir tentang hiburan yang dikaitkan dengan redha Allah sekiranya hiburan difikir dan difahamkan sebagai alat mengisi kekosongan hati dan keceriaan diri secara nafsu-nafsi, menyubur keinginan yang menyebabkan hilang malu dan jati diri, pengagum kepada hiburan popular Barat hingga menjadikan kita tidak berfikir ke arah memperkasakan budaya sendiri.

Sebagai manusia biasa yg dianugerahkan fitrah, tentunya kita berfikir tentang cinta. Berfikir tentang cinta seadanya boleh menjerumuskan kita ke arah cinta kenafsian dan haiwani. Kita akan mudah terpengaruh dengan pemikiran cinta dangkal yang hanya sekadar ingin merasai kelazatan emosi yang sifatnya nafsu-nafsi lalu melampiaskan lafaz dan hajat yang mengheret ke arah kerosakan.

Berfikir tentang cinta kerana Allah, membimbing kita ke arah meletakkan Allah sebagai sumber yang tertinggi di mana puncak cinta kepada Allah membawa kita kepada asas ketaatan dan kepatuhan kepada pedoman yang Allah berikan. Dalam pergaulan, Allah memberikan sempadan dan batasan kepada yang bukan mahram. Allah memberikan landasan syarak supaya cinta yang fitrah tersalur dengan jalan yang terarah. Mematuhi asas yang telah dipedomankan oleh Allah membawa kepada asas redhanya. Dan percintaan yang terjalin atas redha Allah bakal membawa berkat terhadap kehidupan itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...